Rabu, 2 Januari 2013

APLIKASI MENDORONG PELAJAR MENGIKUT TEKNIK NABI 1

Ini catatan hari pertama sesi persekolahan 2013.Saya kirimkan ke dinding Komuniti Alumni Bengkel Mendorong Pelajar Corot. Ia menyuntik semangat.


"Saya cuba aplikasikan teknik mendorong murid corot di kelas Tingkatan 5 Vista. Mereka sederhana akademik dan dikenali sebagai kelas murid pemalas dan bising sebab kesemua 32 orang pelajarnya lelaki.

Hari pertama masuk ke kelas ini saya dahulukan dengan memuji semangat mereka yang hadir ke sekolah dan paling mengejutkan kelas mereka sangat bersih.

"Ustazah kagum melihat kelas ini bersih dan teratur. Ustazah percaya jika keadaan ini diteruskan, kelas ini akan menjadi kelas terbersih setiap minggu.''

Ramai yang bertepuk tangan, senyum dan ada yang menjawab "Ya! Ya! Kami boleh!" sambil mereka membuat aksi menjulang piala. Mereka nampak lebih bersemangat.
(Nota: saya gunakan teknik puji kebaikan walaupun kecil dan teknik memuji sikap,perbuatan atau hasil kerja bukan memuji individu)
Bila saya memulakan P&P ada 2 orang murid menawarkan diri untuk memadam papan tulis. Saya puji perbuatan kedua-dua murid yang ringan tulang itu.

"Ustazah seronok awak berdua ringan tulang menolong kerja ustazah menjadi lebih mudah. Allah tambah pahala awak berdua."

Terus saya lantik 2 orang murid tersebut sebagai Penolong Guru bagi memastikan kebersihan kelas, khususnya papan putih dan lantai. Tersenyum simpul kedua-duanya.

Bila saya minta mereka keluarkan buku teks, ada beberapa orang murid yang tidak membawa buku. Saya tidak menegur kesalahan mereka, sebaliknya saya terangkan peraturan.
Nampaknya semua mengangguk-angguk.
(Nota : saya gunakan Teknik pejam mata pada kesalahan sebaliknya menerangkan peraturan@ perkara yang betul)
Semasa saya mempelawa mereka untuk membaca potongan ayat al Quran, beberapa orang murid mengambil bahagian. Saya puji murid yang membaca dengan betul dan lancar

"Bagus bacaan awak, lancar dan jelas. Ustazah beri 30 markah."

Untuk murid yang kurang lancar bacaannya, saya puji dengan kata-kata, "Ustazah beri 20 markah, kerana kamu berani membaca di hadapan kelas. Sekiranya kamu teruskan membaca al Quran setiap hari tentu bacaan kamu menjadi semakin lancar."

Seorang lagi murid sukarela membaca. Tajwidnya kurang baik, tetapi saya tidak tegur kesalahannya. Saya biarkan dia menghabiskan bacaan dan gunakan kata-kata "Ustazah kagum kerana kamu berhati-hati ketika menyebut ayat al Quran.(sebenarnya murid ini merangkak membaca) Saya yakin kamu boleh membaca dengan lebih baik lagi, jika kamu rajin membaca al Quran di rumah."
(Nota : sekali lagi saya gunakan Teknik pejam mata / tidak menegur kesalahan sebaliknya menerangkan peraturan@ perkara yang betul)
Selepas itu saya bacakan cara bacaan yang betul di hadapan kelas dan minta semua murid mengikut bacaan saya.

P&P berjalan lancar sehingga di hujung waktu pembelajaran saya beritahu bahawa saya akan menjalankan Amali Solat Dhuha pada hari esok. Saya tawarkan sesiapa yang mahu menjadi imam dan pembaca doa. Masing-masing pandang memandang.

Saya tahu mereka tidak yakin. Saya katakan, "Sesiapa pun boleh menjadi imam ataupun tukang baca doa."

''Ustazah beri markah?" tanya ketua kelas yang sejak tadi berdiam diri. Soalan itu membuat saya tersenyum.

''Sudah tentu ada markah.''

"Kalau salah macam mana?" dia sambung bertanya.

"Ustazah akan tunjukkan caranya nanti," jawab saya.

Impaknya seperti magic!

Hampir separuh kelas mengangkat tangan! Terpaksalah saya hulurkan kertas untuk memnbuat jadual giliran. Minggu ini amali solat dhuha, minggu depan amali solat rawatib, minggu satu lagi amali solat taubat.... blablabla.... sampai 7 minggu penuh nama-nama mereka mengisi giliran imam dan pembaca doa. Alhamdulillah.

Saya harap langkah pertama yg saya buat ini betul. Saya mohon teguran dan panduan drp guru-guru yang lebih berpengalaman....
Allahumma solli 'ala Muhammad.

4 ulasan:

  1. Salam Pinat.
    MasyAllah...saya sangat kagum dengan "approach" yang Pinat laksanakan. Saya panggil "reverse phychology". Ini akan tambah menyemarakkan lagi semangat anak-anak kita untuk minatkan pelajaran dan seterusnya berubah sikap menjadi lebih efektif lantas menghasilkan keputusan-keputusan yang diluar jangkaan! Keep up the good work!

    BalasPadam
  2. Terima kasih uncle,masih banyak yg perlu saya baiki,doakan saya istiqomah.;)

    BalasPadam
  3. saya kenal teknik ni kat blog ustazah siti khadijah. tapi time budak nakal, kena pause dulu sekejap pikir apa nak cakap... ikut hati memang terus nak memekik/cubit. kiranya, teknik untuk kawal diri sendiri jugak kan.

    BalasPadam
  4. Kerana bukan budaya kita,mula2 mmg susah nak puji orang..mcm kakpinat bila masuk mengajar kelas corot memang kena sabar jer melayan bebudak loyar buruk,cari alasan tak nak buat kerja,kaki ponteng kelas,kelentong cikgu..lama juga berfikir di mana nak cari kebaikan murid macam ni utk dipuji..senang cakap budak kacang hantu celah mana nak puji pun tak tau..

    Bila amalkan memuji ikut teknik NABI ni..rupanya semua jadi mudah..puji saja tulisan dia,kekemasan baju dia,rambut dia yg bersikat,kerja yg dibereskan..budak2 ni terasa disayangi dan dengan senang hati mudah mengikut cakap cikgu..percayalah! budak ting 4 dan 5 pun teruja bila diberi markah !Jangan tak tau..ada yg melompat2 seronok bila bukunya di'cop' dgn star dan kata2 pujian!

    Cikgu pun awet muda sebab muka tak berkerut dan tak marah2! ngeeee

    BalasPadam